Rumah kediaman kebiasaannya merupakan aset terbesar yang dimiliki oleh seseorang.
Sebagai pemilik rumah, anda seorang yang "kaya aset" melalui ekuiti perumahan. Tahukah anda bahawa anda boleh menukar harta kediaman anda kepada pembayaran pendapatan bulanan tetap sepanjang tempoh persaraan anda?
Apa itu Skim Saraan Bercagar (SSB)?
Skim Saraan Bercagar (SSB) oleh Cagamas ialah satu bentuk pinjaman kepada pemilik rumah yang telah bersara. Melalui SSB anda boleh menjana tunai semasa persaraan tanpa mengorbankan pemilikan rumah. Skim ini membolehkan anda terus tinggal di rumah kediaman anda tanpa bayaran balik sepanjang hayat anda. Pemilik rumah yang telah bersara boleh menggunakan bayaran bulanan yang diterima untuk sebarang tujuan seperti menjelaskan perbelanjaan perubatan dan keperluan lain untuk menjalani tempoh persaraan mereka dengan lebih selesa.
Pinjaman Skim Saraan Bercagar hanya perlu diselesaikan setelah kematian peminjam atau peminjam bersama, yang mana berlaku kemudian. Tiada bayaran balik diperlukan sepanjang hayat mereka dan hartanah hanya akan dijual untuk menyelesaikan apa-apa jumlah pinjaman yang tertunggak apabila peminjam meninggal dunia atau peminjam bersama terakhir yang masih hidup. Apa-apa lebihan baki daripada itu akan menjadi harta peninggalan anda.
Manfaat Skim Saraan Bercagar (SSB)
Tempoh sepanjang hayat
Anda mempunyai sumber pandapatan bulanan tetap sepanjang tempoh persaraan anda.
Pembayaran semula berlaku kemudian
Anda tidak perlu risau mengenai pembayaran semula ketika anda masih hidup hidup, kerana pembayaran balik akan bermula apabila anda atau peminjam bersama meninggal dunia, yang mana berlaku kemudian.
Rumahku Syurgaku
Anda masih tinggal di kediaman anda sepanjang tempoh persaraan.
Pinjaman tanpa tuntutan/rekursa
Sekiranya hasil jualan hartanah itu adalah kurang daripada jumlah pinjaman yang tertunggak, keluarga atau harta anda tidak akan bertanggungjawab/digunakan untuk menyelesaikan apa-apa kekurangan bagi menyelesaikan Pinjaman Skim Saraan Bercagar.
Mengapa Anda Perlu Pertimbangkan Skim Saraan Bercagar (SSB)?
Dalam meniti usia emas, anda seharusnya bebas dari tekanan dan melaluinya dengan penuh ketenangan. Namun, terdapat beberapa faktor boleh menyebabkan para pesara terdedah kepada masalah kewangan.
Kos sara hidup yang kian meningkat
Ketidaktentuan ekonomi boleh merisaukan dan membimbangkan para pesara sama ada mereka mempunyai wang yang cukup untuk meneruskan gaya hidup mereka sepanjang tempoh persaraan mereka.
Menyara hidup sendiri
Pemilik kediaman yang telah bersara boleh memperoleh lebih kebebasan kewangan melalui SSB di samping sumber pendapatan persaraan sedia ada mereka. Mereka tidak perlu bergantung kepada keluarga terdekat atau bantuan kewangan lain.
Bersedia untuk masa hadapan
Mempunyai sumber pendapatan tambahan melalui SSB merupakan sokongan kewangan tambahan dalam mengharungi tempoh yang mencabar semasa berlakunya krisis pada masa hadapan. Pandemik coronavirus telah mencetuskan krisis kesihatan dan ekonomi yang menjejaskan mereka yang lebih berusia, memberi kesan kewangan kepada pendapatan mereka yang terhad, dan SSB boleh menjadi talian hayat kepada mereka untuk melalui tempoh tersebut dengan menyediakan sumber pendapatan bulanan tetap sepanjang hayat.
Persaraan wajib
Warga emas yang terpaksa bersara disebabkan usia mungkin tidak bersedia dari segi kewangan untuk meninggalkan bidang pekerjaan. Ini boleh mengakibatkan ketiadaan jaminan pendapatan, menjadikan mereka terlalu bergantung pada pencen dan simpanan.